Thursday, August 25, 2011

 

 

 

 

Istimewanya Lailatul Qadar


Bagi umat Muhammad saw yang pendek hayatnya, malam yang istimewa ini adalah peluang yang terbaik buat kita semua untuk memburu habuan dan redha dari Ilahi. Firman Allah swt :
"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu ? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar". (Surah al-Qadr 1-5)
Apakah keistimewaan Lailatul Qadar yang boleh kita pelajari daripada ayat-ayat ini?
Sesungguhnya sangat banyak kemuliaan Lailatul Qadr, secara ringkasnya ialah....
1 - Allah swt telah menurunkan Al Qur'an ke langit dunia pada malam Lailatul Qadar  ini.
2 - Allah swt mengagungkan malam ini dengan bentuk pertanyaan, "Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?" (Surah al-Qadr, ayat 2)
3 - Ibadah yang dilakukan pada Lailatul Qadar adalah lebih baik dari ibadah yang dilakukan selama seribu bulan (83 tahun).
4 - Para malaikat bergerombolan turun pada malam ini dengan membawa rahmat, berkah dan ketenangan.
5 - Keamanan dan keselamatan meliputi orang-orang yang beriman pada malam ini dan para malaikat terus menerus mendo'akan keselamatan mereka.
6 - Inilah kesempatan terbaik untuk memohon pengampunan dosa daripada Allah swt.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: 
"Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu. Barangsiapa solat pada Lailatul Qadar kerana beriman dan mengharapkan pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :
"Berusahalah mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan." (Hadith Riwayat Bukhari)
Ayoh teman dan sahabat!
Jom semarakkan penghujung Ramadhan Mubarak yang bakal meninggalkan kita dalam sedikit masa lagi. Ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita....

Sunday, August 21, 2011

Paksa Diri =)


paksa diri untuk melalui jalan yang sukar


Tidak semua akhwat adalah seorang yang peramah dan banyak mulut.

Tidak semua akhwat pandai memasak.

Tidak semua akhwat boleh memandu kereta walaupun sudah mempunyai lesen.

Tidak semua akhwat petah dalam menyampaikan pengisian atau tazkirah.

Tidak semua akhwat merupakan kaki SMS.

Sebagai seorang akhwat yang telah ditarbiyah dan memahami tuntutan dakwah, tidak semua perkara dia suka atau mampu dia lakukan. Setiap akhwat pasti ada kekurangan dalam sesuatu hal. Namun, ini bukan bermakna seorang akhwat perlu membiarkan kelemahan yang ada tanpa memaksa diri untuk melakukannya.

Berbuat dalam ringan atau berat

Dalam keadaan apa pun, kita mesti berbuat samada ia ringan atau berat. Samada kita suka atau tidak. Samada kita biasa atau tidak biasa.

“ Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah agar kamu beruntung.” ( At-Taubah (9) : 41)

Kerana apa yang kita perlu lakukan bukanlah sesuatu yang tidak penting untuk dakwah, malah ia adalah sangat penting untuk memastikan objek dakwah boleh serasi dengan kita walau apa pun karakter kita.

Pendiam

Ada akhwat yang merupakan seorang yang pendiam. Jadi, sebagai seorang dai’e kita tidak boleh membiarkan sifat pendiam ini terus menerus dan menjadikan ia sebagai kelemahan. Objek dakwah sangat memerlukan dai’e yang peramah dan sentiasa bertanyakan hal-hal mereka. Pendiam hanya akan membuat mereka lari daripada kita dan membuatkan ukhwah menjadi hambar.

Memaksa diri untuk menjadi peramah menjadi satu kewajipan bagi para akhwat untuk menarik objek dakwah kepada tarbiyah. Kita tidak akan tahu perihal mereka dan segala apa yang berlaku pada mereka jika waktu ziarah pun kita masih mendiamkan diri dan tidak banyak bertanya. Mereka akan menganggap bahawa kita tidak lebih daripada hanya pemberi peringatan sahaja.

Bukankah salah satu cara dakwah yang berkesan adalah apabila kita mengetahui latar belakang objek dakwah tersebut? Maka paksalah diri untuk menjadi ramah supaya nanti mudah untuk kita mengetahui latar belakang mereka.

samada berat atau ringan, kita kena lakukan juga!


Tidak petah dalam menyampaikan

Terdapat juga akhwat yang tidak yakin kepada diri sendiri dalam menyampaikan. Maka, dia sentiasa mengelak jika disuruh mengisi taklim atau halaqah dengan alasan tidak bagus dalam menyampaikan. Mungkin juga ada dikalangan para akhwat yang takut untuk membina taklim atau halaqah kerana tidak pandai dan tergagap-gagap semasa mengisi.

Memaksa diri untuk menyampaikan semasa taklim atau halaqah akan menjadikan seorang akhwat itu semakin biasa dan semakin ‘seronok’ untuk menyampaikan walaupun pada awalnya penyampaian dia tidaklah sebaik mana.

Perkara yang sepatutnya menjadi nightmare bagi para akhwat kini menjadi mimpi indah jika terus dilatih dan dibiasakan.

Tidak pandai memasak

Memberi makanan hasil daripada air tangan kita adalah satu taktik untuk mengeratkan keterikatan hati antara dai’e dan objek dakwah. Mereka pasti akan merasa terharu jika terdapat orang yang sudi memasak khas untuknya. Memasak adalah keupayaan minimal seorang akhwat yang tidak mempunyai skil-skil yang terdapat di atas. Namun, bukan bermaksud untuk mengabaikan skil di atas.

Sekali lagi, memaksa diri adalah solusinya namun tidak diketepikan keikhlasan niat itu sendiri. Kalaupun tidak pandai memasak, paksalah diri untuk menjadi akhwat yang pandai memasak meskipun satu menu sahaja. Kita tidak mahu juga muka akhwat yang sama sahaja menjadi AJK makanan dalam setiap program. Agak memalukan jika sudah menjadi seorang akhwat, tapi tidak pandai memasak.

Tidak berani memandu

Sedikit kekesalan pada segelintir akhwat yang mempunyai lesen tetapi masih menjadi penakut untuk memandu kereta atau motor. Terdapat juga akhwat yang memilih-milih kereta manual atau kereta auto. Jalan sibuk atau jalan lengang. Kereta besar atau kereta kecil. Bukankah konsepnya sama sahaja iaitu memandu sebuah kenderaan yang mempunyai gear, brek dan pedal minyak? Cubalah memaksa diri anda untuk memandu kereta walau apapun kondisi kereta tersebut.

Paksalah diri untuk memandu dan jadilah seorang pemberani semasa berada di jalan raya. Kita tidak akan memperoleh pengalaman memandu selagi mana kita tidak mencuba dan sampai bila-bila kita akan hanya menjadi seorang yang pengecut. Pengecut dengan jalan yang sesak dan kenderaan yang besar.

Bagaimana jika kerja dakwah mendesak untuk kita memandu sedangkan hanya terdapat kereta manual sahaja padahal kita hanya tahu memandu kereta auto? Maka, sia-sia sahajalah lesen memandu yang kita ada kerana tidak mampu menyumbang sedikit pun untuk dakwah!

Bukan ‘kaki’ SMS

Siapa suka hendak menghabiskan masa untuk ber SMS kalau bukan kerana tuntuan dakwah menjadikan SMS sesuatu yang urgent. Ada akhwat memang tidak suka bermain SMS. Namun, untuk berkomunikasi dengan objek dakwah, SMS adalah metod yang paling utama kerana ada diantara mereka yang lebih suka meluahkan isi hati melalui SMS sahaja daripada face to face. Jika terdapat akhwat yang tidak berapa gemar berSMS sekalipun, tidak perlulah sampai waktu cuti panjang pun seorang akhwat tidak berSMS kepada objek dakwahnya. Apatah lagi untuk ber SMS seminggu sekali bertanya kabar atau memberi mesej-mesej yang berguna.

Apakah ukhwah yang didambakan hanyalah terhad semata-mata di taklim atau halaqah sahaja? Tidak mustahil mereka akan lari hanya kerana tidak merasakan care nya kita kepada mereka. Tidak salah jika mengucapkan kata-kata rinduan dan sayang kepada objek dakwah sebagai bukti kita menghargai mereka. Janganlah claim ini bukan style kita. Kalaupun bukan style kita, maka, jadikanlah ia sebagai style kita.

Juga diingatkan, arahan dakwah tidak kira masa. Selalulah memastikan handphone sentiasa bersama untuk kita sentiasa alert dengan apa yang perlu ditugaskan. Jadi, duhai akhwat, paksalah diri untuk suka ber SMS dengan mereka, walaupun hakikatnya anda bukanlah kaki SMS.

Penutup: Tiada apa yang mustahil

i'm possible or impossible?


Sebenarnya, untuk memperoleh sesuatu skil, perlu adanya sikap mencuba atau dengan kata lain, memaksa diri. Kita tidak akan dapat melakukan sesuatu sampai bila-bila jika kita hanya menjadi seorang yang tidak pernah memaksa diri untuk mencuba.

Sampai bilakah kita akan jadi seorang yang pendiam, tidak tahu menyampaikan, tidak berani memandu, tidak suka berSMS dan tidak pandai memasak jika kita tidak memaksa diri untuk berbuat perkara-perkara sebegini?

Paksalah diri kita untuk menjadi seorang yang peramah, pandai memasak, cekap memandu kenderaan dan suka berSMS dengan objek dakwah.

InsyaAllah, dakwah kita akan sedikit sebanyak berkembang jika kita cuba untuk memaksa memperbaiki diri  ke arah yang lebih baik dan menjadi akhwat yang serba boleh!

p/s: Semuanya bermula dengan paksaan!

Maksiat yang TERSEMBUNYI








KH Rahmat Abdullah berkata
Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”

" Eh, farid. Apa kau tengah buat?"
" Emmm.. er.. aku.. aku.. aku.."
" Engkau tengah chatting dengan perempuan? Biar betul. Aku ingat kau tengah khusyuk buat assignment. Kau baru bagi pengisian di taklim semalam pasal ikhtilat dan couple."

KANTOI !

Orang lain tidak pernah tahu betapa besarnya dosa-dosa kita sebenarnya. Allah yang Maha Penyayang telah menutup keaiban ini. Seandainya dosa-dosa ini berbau, nescaya tidak akan ada yang sanggup mendekati kita. Malah, untuk melihat dan memandang juga tidak sanggup.

Kita kononnya dilihat orang yang alim dan bagus sehinggakan kita ini dilabel tidak punya banyak dosa. Kita juga dilihat sebagai orang yang sentiasa mengajak orang lain berbuat kebaikan. Menjadi imam, melakukan qiamullail dan membaca Al-Quran. Namun disebalik itu, hanya Allah jua yang tahu siapa diri kita sebenarnya. Dibalik wajah yang dipercayai ramai, terdapat watak jahat disebalik itu.

Sehingga kini juga, sedikit watak jahat itu tidak mampu dibaca oleh orang lain. Watak itu pandai menyembunyikan diri. Ketika berseorangan, watak itulah yang bermaharaja lela menguasai keadaan. Sekali lagi, tiada siapa yang tahu. Hanya Allah dan empunya diri sahaja yang tahu.

Sisa jahiliyyah dahulu

Watak jahat itulah sisa jahiliyyah kita yang dahulu. Meskipun telah banyak perubahan dan perbaikan yang telah kita lakukan begitu juga banyak ilmu telah kita tahu, namun watak jahat itu seolah-oleh tidak pernah mahu mengalah melepaskan dari genggaman kita.

Semua orang mahu berubah kerana fitrah manusia itu hendakkan kebaikan. Namun, apabila mencapai fasa kesedaran dan tarbiyah, sisa-sia jahiliyyah itu kadang-kadang berjaya dijauhkan dan kadang-kadang menang dalam pertarungan. Sisa-sisa itu seakan-akan mahu diberikan perhatian dan belaian sehinggakan memaksa diri untuk melakukannya walaupun telah tahu bahawa ia adalah sesuatu dosa yang besar.

Menonton video lucah atau beronani.

Lesbian atau gay.

Menghubungi orang yang bukan mahram melalui chatting atau SMS.

Menonton movie dan mendengar lagu lagha.

Menipu dalam mutabaah.

Dan macam-macam lagi dosa.



Hak dan batil yang bercampur

Artikel ini khusus untuk para pendakwah, guru-guru agama, murobbiyah, ustaz-ustaz atau sesiapa sahaja yang dikatakan berilmu dan menyampaikan kebenaran kepada orang sekeliling. Jauhilah daripada dinampak baik pada pandangan orang lain, tapi hakikatnya jelek pada pandangan Allah.

Kita menasihati orang lain macam-macam, namun kita tidak tidak pernah endah terhadap apa yang kita percakapkan. Allahuakbar. Mungkin ramai lagi para dai’e yang masih tidak mengoreksi diri. Ayuhlah sama-sama bermuhasabah dan sentiasa meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah.

Dari Anas bin Malik ra bahwa Nabi saw bersbda: Pada saat aku dinaikkan ke langit (dalam peristiwa isro’ mi’raj) aku melewati suatu kaum yang bibir-bibir mereka potong dengan gunting dari gunting dari neraka, lalu aku bertanya: Siapakah mreka ini wahai Jibril?. Rasulullah saw bersabda: Mereka adalah para pemidato dari kaummu yang mengatakan sesuatu namun mereka sendiri tidak mengerjakannya” (HR Ahmad)

Bertaubatlah sebenar-benarnya. Janganlah bertaubat sekadar melepaskan batuk di tangga. Sekadar memenuhi syarat sebagai orang yang berdakwah. Lakukanlah dengan menangis dan menyesali taubat yang sentiasa dimungkiri dan dosa yang sentiasa dilakukan berulang-ulang kali tanpa diketahui orang lain.


Setiap kali melakukan maksiat itu, taubatlah jalan penyelesaiannya. Agar nanti, ia tidak menghalang kita untuk melakukan amal kebaikan yang lain dan menjauhkan daripada rasa tidak layak serta futur.

Penutup: Akan terbongkar juga

“ Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.”

Mungkin sekarang, kita merasakan bahawa orang lain tidak tahu apa yang kita lakukan. Tapi tidak mustahil, lambat laun rahsia itu akan terbongkar juga. Kali ini, kita mungkin bernasib baik kerana Allah masih lagi menjaga aib kita. Perlu diingat, rahsia itu akan terbongkar samada hari ini, esok, akan datang atau di akhirat nanti.

Azab Allah sangat berat. Setiap yang kita lakukan di dunia ini akan dipertontonkan di  scrin besar di hadapan berjuta-juta manusia. Betapa tidak dapat dibayangkan perasaan takut, malu teramat sangat dan berbagai-bagai kerana dosa-dosa kita kini telah didedahkan oleh  Allah swt. Alangkah malu besarnya jika kita diseksa di hadapan orang-orang lain yang tidak beriman hanya kerana maksiat tersembunyi ini. 


Tika watak jahat tiba-tiba muncul di hadapan kita seringkali ingat akan kematian dan azab Allah yang menggerunkan ini.

Dari Usamah bin Zaid ra bahwa dia pernah mendengar Nabi saw bersabda: Seorang lelaki didatangkan pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam api neraka, kemudian ususnya berhamburan keluar lalu dia berputar-putar dengannya seperti berputar-putarnya  himar dengan batu penggilingannya. Kemudian para penghuni surga berkumpul di hadapannya dan bertanya kepadanya: Apakah yang terjadi padamu?. Tidakkah engkau yang pernah memerintahkan kami kepada Al-Ma’ruf dan yang mencegah kepada yang mungkar?. Dia menjawab: Aku telah memerintahkan kalian dengan yang ma’ruf namun aku sendiri tidak melakukannya dan mencegah kalian kepada dari yang mungkar namun aku mengerjakannya”.
(Sahih Bukhari dan Muslim)

lambat laun segalanya akan terbongkar juga

Bertakwalah kepada Allah. Allah masih memberi peluang untuk kita bertaubat.

Jauhilah dan tinggalkanlah segera maksiat itu kerana sesungguhnya maksiat itu hanya akan menggelisahkan hati.


Bermuhajadahlah sekuat mungkin untuk mencapai darjat mukmin yang tinggi di sisi Allah swt.

Jika benar kita mahu meninggalkan maksiat itu, berdoalah kepada Allah agar menutup keaiban kita di dunia dan di akhirat nanti.

p/s: Berupaya menjadi sempurna walaupun tidak mampu menjadi sesempurna mungkin.

Friday, July 22, 2011

Kisah Itik dan Kura-Kura | iluvislam.com + discover the beauty of islam







Kisah Itik dan Kura-Kura | iluvislam.com + discover the beauty of islam
Terdapat dua ekor itik dan seekor kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama meninggalkan tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan keadaan semakin mendesak, maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan berair. Kura-kura berasa risau memandangkan sahabat baiknya ingin meninggalkan tempat tersebut. Dengan keadaannya yang bergerak lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua ekor itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti aku akan mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah berfikir seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura kembali.
"Kami berdua akan menggigit sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi kita dengan selamat. Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik itu mencari tempat tinggal baru bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui suatu kawasan, ada beberapa orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada hati nak terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh terbang, ada hati nak terbang tinggi macam itik. "
Kura-kura berasa geram dan marah dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu jika dia membuka mulut pasti dia akan terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus terbang meninggalkan mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah penat terbang mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang dipenuhi dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan keberanian dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, " jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan teruja dengan pujian budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang dulu bersemangat kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
Begitu juga dengan kita, kita akan kuat apabila dihina dan diberi pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai dengan puji-pujian. Dalam kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan kejian, dan cepat riak dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa bersyukur dan jadikan setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber kekuatan kita untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa riak. Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan. Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan binasa.
- Artikel iluvislam.com

Apa Ertiku Menuntut Ilmu | iluvislam.com + discover the beauty of islam









Apa Ertiku Menuntut Ilmu | iluvislam.com + discover the beauty of islam
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Al Mujahid As Syeikh Mustafa Masyur pernah menyebut ;
"Tarbiyyah (pendidikan) bukan segalanya-galanya, tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyyah."
Kadang-kadang kita mengeluh mengapa kita perlu belajar tinggi-tinggi?
Kita hanya belajar untuk peperiksaan yang bakal tiba.
Kita hanya belajar untuk memuaskan hati ibu bapa.
Kita hanya belajar untuk dipandang tinggi oleh masyarakat.
Satu pertanyaan diajukan oleh golongan wanita.
Katanya buat apa belajar tinggi-tinggi, lepas kahwin jadi surirumah juga?
Namun ada yang kata dunia hari ini berbeza, lelaki & wanita sama saja.
Bila berumahtangga apa susah, masing-masing urus kerjaya sendiri.
Bila datang cahaya mata, masing-masing tak nak mengalah, kerjaya masing-masing dipertahankan, anak yang dianugerahkan dianggap musibah.
Akhirnya dengan sifat penyayang si ibu pasti mengalah.
Akhirnya sama saja wanita tetap jadi surirumah.
Sedikit portion adalah sebaliknya, lelaki yang jadi surirumah.
Tapi hakikatnya tetap wanita majoritinya.
Ada satu kata-kata Ibu yang bijak mengajar anak daranya,
"Jangan anggap wanita tidak perlu belajar tinggi-tinggi, walau kebanyakan akan jadi surirumah, tapi ingatlah anakku, ia pasti berbeza cara dan kualiti, seorang ibu yang tinggi pelajaranya dengan yang sebaliknya, yang mana akan melahirkan insan yang berguna?"
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui"
(QS 39 : 9)
Bagi lelaki pula jangan gembira, jangan menyangka wanita belajar nampak tiada gunanya. Bagaimana dengan diri anda?Mengapa wanita selalu lebih banyak, terutama di peringkat IPT? Ada yang kata dunia nak kiamat, ada yang kata lelaki is more to practical, not theoratical. Itu pasal habis SPM kami terus masuk bekerja. Tidak payah nak belajar tinggi-tinggi, buang duit bayar yuran pengajian. Kalau bekerja dapat sebaliknya, dapat kumpul duit itu yang utama. Diri pun nampak matang, kerana sudah bekerjaya.
Tidakkah dirimu nampak kurang matang, kerana pemikiranmu tersangkut hanya sampai di masa itu. Tidakkah kau lihat masa hadapan, perluaskan minda melihat semuanya - mana yang nampak mulia, fikirkan dengan minda yang berwawasan,
orang berilmu, belajar tinggi-tinggi, terutama jika ilmu yang diredhai, bukan semua ilmu dipelajari dapat redha yang Maha Mengetahui.
Ingatkah ketika Ibnu Athaillah mengatakan, dalam kitabnya Al-Hikam,
"Ilmu yang paling baik adalah yang disertai khasyyah."
Khasyyah adalah rasa takut kepada Allah yang disertai mengagungkan Allah. Maka segala jenis ilmu yang tidak mendatangkan rasa takut kepada Allah dan juga tidak mendatangkan pengagungan kepada Allah tiada kebaikannya sama sekali"
Itulah kata-kata indah dari seorang Tokoh. Satu persoalan yang sering bermain di fikiran. Bagaimana nak belajar kerana Allah, untuk mendapat redhanya?
InsyaAllah inilah jawapannya.
Untuk mengetahui ilmumu bermanfaat atau tidak, cukuplah kau lihat bekasnya. Jika dengan itu kau semakin takut kepada Allah dan semakin baik ibadahmu kepada-Nya, maka itulah tanda ilmumu benar-benar bermanfaat. Jika sebaliknya maka berhati-hatilah.
Ini semua bermain dengan niat, satu benda yang sukar dijaga. Pengikhlasan niat hanya pada-Nya, paling kurang 5 kali ikrar diulang setiap hari. Semuanya hanya untuk Allah Azza Wa Jalla,
"Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."
(QS 6 : 162)
Di mana kita selama ini? Ilmu apa yang kita tuntut? Jangan ingat hanya ilmu agama sahaja yang nampak diredhai.
Walau Rasulullah pernah bersabda, buat renungan kita semua;
"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din"
Jangan kita berfikiran sempit, mentakrifkan ilmu agama sahaja yang akan diredhai. Tidakkah kau mengetahui, ilmu lain nampak dibayangi, seperti sains dan astronomi, tidakkah itu cara untuk mendekati kepada Ilahi. Ilmu lain boleh didasarkan pada niat yang hakiki, menambah ilmu untuk menjadi seorang pengabdi, kepada Tuhan Rabbul 'Izzati.
- Artikel iLuvislam.com
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

Al-Mizan: Cinta & Cita-Cita | iluvislam.com + discover the beauty of islam






Al-Mizan: Cinta & Cita-Cita | iluvislam.com + discover the beauty of islam

"Cintaku bukan di atas kertas, cintaku getaran yang sama,
tak perlu dipaksa, tak perlu dicari,
kerna ku yakin ada jawabnya."
Tutuplah kelopak mata dan selamilah pengertian sedalam lautan kalimah CINTA. Dengarkanlah setiap rentak dalam nalurimu apabila ungkapan romantis CINTA dituturkan, saat tangis seakan gerimis, saat jiwa seakan berduka dan saat hati seakan sunyi. Benarkah kata orang CINTA tidak punya mata tapi hanya ada hati.
Kebanyakan kita mentafsir cinta dengan membayangkan sepasang kekasih, tersimpul dalam ikatan kasih sayang, mengalir sederas aliran di detak rindu, berbenih dan berbunga di telaga sukma. Hakikatnya, CINTA adalah ungkapan yang bukan sekadar ungkapan. CINTA adalah sebuah anugerah yang nilainya bukan segunung waima selautan emas sekalipun. Yakinlah, suburnya keimanan, teguhnya kepercayaan dan tulusnya kehambaan adalah kerana wujudnya CINTA.
Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W:
"Tidak sempurna Iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."
CITA-CITA adalah garapan impian dan harapan seseorang akan masa depannya. Motivasi paling setia dalam rangka sebuah kejayaan, pembakar semangat kental dalam menapak maju ke hadapan. Sebuah eskalator termaju dalam pencarian erti kehidupan sebenar. Insan tanpa CITA-CITA, ibarat aliran air dari pergunungan menuju ke dataran rendah. Terus mengalir namun tiada pedoman arah tujunya.
CITA-CITA adalah ibarat sebuah bangunan, terbina dari susunan batu-bata kekentalan, tercantum dengan simen pengetahuan dan terteguh dengan pasir keyakinan. CITA-CITA bukanlah hanya ingin menjadi ternama, mempunyai prospek kerjaya mahupun menjadi usahawan berjaya, namun CITA-CITA tertinggi adalah menggapai keredhaan Illahi duniawi juga ukhrawi.
Renungilah, apakah wujud al-Mizan CINTA dan CITA-CITA? Perlukah CINTA itu dipisahkan dengan CITA-CITA? Mampukah CITA-CITA itu dipertahankan tanpa sebuah CINTA? Haruskah CINTA itu hadir setelah diperoleh CITA-CITA?
Percayalah, CINTA dan CITA-CITA adalah dua komponen yang seiring landas geraknya, saling melengkapi dalam memperteguh matlamat keduanya. Ibarat perlunya malam kepada siang, signifikannya suami kepada isteri dan hadirnya cahaya dalam kegelapan.
Dalam travelog CITA-CITA, kita perlukan kekuatan, menahan segala dugaan dan rintangan yang bukan sedikit cuma dan hadirnya CINTA sebagai sumur dalam perjuangan.
Sebab itulah perlu ditegaskan bahawa pengertian CINTA itu luas lingkup tafsirannya. Rahmat Allah adalah CINTA buat kita, kasih sayang ibu bapa adalah CINTA buat kita, sokongan sahabat-sahabat adalah CINTA juga buat kita. Mustahillah, bagi kita andai dikatakan semua ini tidak perlu dalam mengejar kemurniaan CITA-CITA. CINTA adalah teman setia CITA-CITA. Raja kepada CINTA ini adalah hati yang dijalin atas nama Maha Pencipta.
Oleh itu, fikirlah tentang al-Mizan CINTA dan CITA-CITA. Yang halus timbangannya, atas redha Allah CINTA dan CITA-CITA bersatu. Walaupun siapa kita, tanah mana kita berpijak dan langit mana kita bernaung, janganlah sesekali kita pisahkan keduanya. Moga atas jambatan CINTA Allah, bertautlah keimanan tulus dalam naluri kita yang kudus, dan moga atas rahmat Allah jugalah, CITA-CITA yang digarap atas nama CINTA-NYA mampu digapai dalam inayahnya.
Insya-Allah.
-Artikel iLuvislam.com

Tuesday, July 12, 2011

sekeping hati-saujana







Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa


Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang

Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap

Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba

Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa